Tuesday, January 27, 2009

KENALI FengShui

FENG SHUI BUNYI

Bunyi menambahkan tenaga. muzik yang anda gemari menggetarkan jiwa anda dan menambahkan aura personaliti anda. Gemerencing hiasan yang digantung berdekatan pintu masuk dan dewan terbuka menimbulkan bunyi lembut yang manis didengar. Hati anda dan tetamu anda terdetik perasaan riang dan manis. Apabila anda gembira, aura anda memberikan kesan kegembiraan kepada orang yang berada di sekitar anda.

FENG SHUI ALAM SEMULA JADI

Hidupan seperti pokok dan haiwan membawa tenaga chi positif. Pokok dan bunga yang subur dan sentiasa dijaga membangkitkan tenaga chi positif. Elakkan meletak bunga hidup yang dikeringkan. Pokok yang berdaun besar, bulat atau lonjong sangat baik untuk kitaran tenaga chi positif. Jangan letak pokok berduri kerana ia memotong tenaga. Ikan melambangkan kemakmuran dan kekayaan. Cuma pastikan mangkuk dan akuariumnya bersih dan nampak baru. Jika anda membela ikan di dalam kolam, pastikan kolam itu tidak kotor dan air kolam itu sentiasa mengalir. Sangkar burung dan kucing mesti sentiasa bersih kerana bagaimana kita membela dan menjaga haiwan kesayangan kita akan mempengaruhi tenaga chi.

FENG SHUI BATU-BATU

Batu-batu memberi maksud kukuh dan stabil. Ia mengekalkan tenaga chi positif. Batu-batu juga melambangkan kuasa. Ukiran pasangan bercinta atau dua ekor burung dapat mengukuhkan hubungan perkahwinan dan perhubungan

FENG SHUI BENDA-BENDA BERGERAK

Benda-benda bergerak seperti bendera dan kincir angin mengaktifkan tenaga chi positif yang berasal dari angin. Pacakkan tiang bendera dengan bendera dari kain berkualiti di hadapan rumah atau pejabat anda untuk menguatkan tenaga chi di kawasan rumah dan pejabat anda

FENG SHUI AIR

Air pancut, kolam, air terjun dan akuarium menggalakkan perjalanan tenaga chi yang positif. Ia juga adalah lambang duit, kekayaan, peluang dan kedatangan pelanggan yang tidak putus-putus. Semangkuk ikan emas dan bunga-bunga segar di dalam pasu juga meningkatkan tenaga air. Untuk memaksimumkan keselamatan kewangan, pastikan anda mengunakan akuarium atau kolam yang besar.

FENG SHUI KRISTAL DAN BATU PERMATA

Kristal dan batu permata telah lama dikenali sebagai sesuatu yang boleh meningkatkan kadar tenaga. Kecantikan kristal dan batu permata memukau pandangan ramai orang sejak zaman dahulu lagi. Setiap warnanya berkait rapat dengan warna aura seseorang. Letakkan bola kristal di atas meja untuk mengaktifkan chi yang harmoni. Jika ada aspek tertentu yang anda ingin kuatkan, gantung kristal mengikut warna yang betul menggunakan reben di tingkap atau di belakang pintu (Mingguan Wanita, 22-28 Disember 2006)