Wednesday, November 06, 2013

Polis rampas dadah RM14.6 juta di Jelutong

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM14.6 juta yang disembunyikan di dalam stor di sebuah pangsapuri di Jelutong di sini, Sabtu lalu. Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata hasil siasatan mendapati rumah terbabit disewa oleh seorang lelaki berusia 20-an. Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek sudah ditahan polis China beberapa bulan lalu bersama dadah di negara terbabit.

Calon SPM rebah, meninggal dunia selepas 30 minit jawab soalan

KOTA BAHRU: Seorang calon yang menduduki hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Agama (SMA) Saniah, Pasir Puteh, dekat sini dilaporkan rebah dan meninggal dunia selepas kira-kira 30 minit menjawab soalan, pagi ini. Pelajar terbabit dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis (HTA) di sini. Pelajar perempuan berkenaan, NurSyazwani Arifin, 17, dikatakan sedang menjawab kertas Bahasa Melayu 1 apabila tiba-tiba rebah dan pengsan di atas lantai dewan pemeriksaan sekolah itu.

Friday, November 01, 2013

JANA KEHIDUPAN DENGAN KLIK

Kenderaan curi diseludup ke Pontianak, dihantar semula ke Sarawak

KUCHING: Sejumlah 29 kenderaan yang dicuri dari Sarawak dan diseludup ke Pontianak, Indonesia akan dihantar semula ke negeri ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhammad Sabtu Osman. Beliau berkata kejayaan menemui semula kenderaan itu adalah hasil kerjasama polis Sarawak dengan polis di wilayah negara jiran itu. "Semua kenderaan itu akan dibawa balik. Polis Sarawak juga telah menghantar anggota untuk membantu siasatan hasil penemuan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Sarawak (IPK) di sini hari ini. Pada majlis sama, Muhammad Sabtu turut menyerahkan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 kepada 66 pegawai, anggota dan penjawat awam dalam pasukan. Sementara itu, Muhammad Sabtu berkata statistik indeks jenayah polis IPK Sarawak bagi tempoh Januari hingga hari ini, berjaya dikurangkan 11.23 peratus berbanding tempoh sama, tahun lalu. "Bagi tempoh itu 6,859 kes dicatat berbanding 7,727 kes tahun lepas. Penurunan kes itu adalah hasil kejayaan operasi, rondaan anggota polis di samping kerjasama baik diterima daripada masyarakat. "Oleh itu saya menyeru anggota polis untuk lebih dekat dan dampingi masyarakat dan dalam masa yang sama saya mengalu-alukan masyarakat untuk turut sama berbuat demikian dan terlibat dengan apa jua aktiviti anjuran polis," katanya. - BERNAMA

Penurunan drastik kegiatan lanun di Selat Melaka sejak 1999 - APMM

LUMUT: Kegiatan lanun di perairan negara terutama di Selat Melaka mengalami penurunan drastik sejak penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 1999. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar, berkata pemantauan dan penguatkuasaan berterusan yang dilakukan agensi itu merekodkan tiada rompakan kapal dagang dilaporkan sepanjang tempoh empat tahun iaitu 2009, 2010, 2012 dan 2013 (sehingga Oktober lalu). "Kita hanya merekodkan dua kes membabitkan rompakan lanun pada 2011 dan satu daripadanya berjaya diselesaikan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bot nelayan Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia di atas Kapal Maritim Marlin, Kampung Acheh, Sitiawan, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Maritim, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Zulkifli Abu Bakar. Bot itu dirampas sekumpulan lanun Indonesia pada 9 Julai lalu dan mereka turut meminta wang tebusan sebanyak RM200,000 kepada pemiliknya, Tan Tiang Eng bagi mendapatkan semula bot itu serta dua awak-awaknya. Bagaimanapun, tindakan bijak Tiang Eng melaporkan kes itu kepada APMM berjaya mengesan bot itu Ogos lalu di kawasan Acheh Timur, kira-kira 70 batu nautika dari bot itu dirampas iaitu kawasan perairan timur Pulau Pinang. Ahmad Puzi berkata, pihaknya memberi jaminan kawasan perairan negara masih selamat dan terkawal daripada sebarang pencerobohan atau kegiatan lanun. "Sepanjang tahun ini, hanya tiga kes direkodkan membabitkan bot nelayan yang dirampas lanun tetapi kes itu berjaya diselesaikan dengan kerjasama daripada rakan sejawat di Indonesia," katanya. Katanya, APMM juga sudah merampas 627 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara sejak 2006 hingga sekarang dan lebih separuh tangkapan yang dibuat membabitkan bot nelayan Vietnam. "Daripada jumlah itu, nilai rampasan yang dibuat sebanyak RM250 juta," katanya. Sementara itu, Tiang Eng berkata, dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada APMM kerana tindakan pantas pasukan itu berjaya menyelamatkan bot dan dua pekerjanya daripada menjadi tebusan lanun asing itu. "Nelayan tempatan dan pengusaha bot perlu prihatin dengan permasalahan seperti ini dengan melaporkan kegiatan jenayah kepada pihak berwajib supaya tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya.

Kim Swee bawa Syahrul Azwari ke Phnom Penh

Kuala Lumpur: Jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan pemain sayap, Syahrul Azwari Ibrahim untuk bersama-sama 21 pemain lain terbang ke Phnom Penh, Kemboja, semalam bagi menyertai kejohanan jemputan Piala BIDC 2013 yang bermula esok. Syahrul Azwari, 20, sebelum ini sedang mengikuti latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak 21 Oktober lalu, namun secara tiba-tiba dilepaskan jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal, kelmarin untuk kembali bersama skuad B-23 negara. “Tiba-tiba semalam (kelmarin) Rajagobal beri pelepasan buat Syahrul Azwari lantas saya terus menyenaraikannya untuk ke Kemboja. Jadi saya terpaksa gugurkan Hazwan Rahman yang mengalami kecederaan untuk melengkapkan senarai 22 pemain ke Kemboja,” kata Kim Swee sebelum berlepas ke Phnom Penh, petang semalam. Jordan ujian sebenar Skuad Harimau Muda A yang diundi dalam Kumpulan B bakal bertemu tuan rumah, Kemboja, esok diikuti Laos pada Isnin. Manakala Kumpulan A membariskan Thailand, Vietnam dan Myanmar. “Jika kita menduduki dua tempat teratas, separuh akhir bakal berlangsung pada 8 November manakala jika ke final pada 10 November, kita akan terus bertolak ke Jordan dari Phnom Penh pada 11 November. “Tapi jika gagal ke separuh akhir, kita akan pulang ke Kuala Lumpur terlebih dulu pada 7 November sebelum ke Jordan,” jelas Kim Swee yang pasukannya bakal berdepan ujian sebenar pada dua aksi persahabatan bertemu skuad B-23 Jordan, 12 dan 14 November di Amman.

Piya terima ugutan bunuh

Kota Bharu: Selepas pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin menerima ugutan bunuh di Facebook September lalu, kini giliran kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi pula mendapat ugutan sama daripada seorang individu menerusi laman sosial itu, semalam. Mohd Badhri yang lebih mesra dengan panggilan Piya ketika dihubungi berkata, dia memandang serius berhubung ugutan berkenaan namun enggan memikirkannya kerana mahu memberi tumpuan penuh terhadap final Piala Malaysia yang akan berlangsung dua hari lagi. Katanya, dia menyokong dan akan bekerjasama sekiranya terdapat kelab penyokong mahu membuat laporan polis berhubung ugutan berkenaan. Buat laporan polis “Saya hanya tahu perkara ini selepas dimaklumkan oleh media. Tapi saya memandang serius perkara ini. Kita tidak boleh bermain-main dengan ugutan bunuh. Buat masa ini saya tidak sempat untuk membuat laporan polis kerana sibuk menjalani latihan," katanya semalam. Individu yang menggunakan akaun Facebook, Elman Ganu difahamkan menghantar mesej di dalam akaun milik Budok Juvana yang menghina pasukan Kelantan dan ugutan bunuh terhadap Mohd Badhri. Antara kandungan mesej Elman Ganu yang dihantar termasuk 'Aku akan upah orang bunuh Badhri Radzi' dan menggunakan perkataan lucah dan kesat terhadap rakyat Kelantan. Perkara berkenaan dianggap serius oleh penyokong TRW apabila Kelab Bantuan Kemasyarakatan Kelantan (KSBK) bertindak membuat laporan polis berhubung ugutan itu di Balai Polis Kota Bharu, di sini, semalam.

2,000 anggota polis bertugas pada final

Shah Alam: Kira-kira 2,000 anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal trafik dan keselamatan ketika saingan kemuncak Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam, Ahad ini. Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata langkah mengerah sejumlah besar anggota ke stadium itu bertujuan memastikan tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini. “Semua anggota itu akan ditempatkan di segenap stadium termasuk di kawasan letak kenderaan, di laluan masuk dan keluar stadium serta di pintu tiket. Jamin keselamatan “Kami akan sedaya upaya berusaha menjamin keselamatan penyokong,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, semalam. Abdul Rahim berkata, penyokong setiap negeri akan dipisahkan dengan tempat duduk yang sudah dikhaskan dan juga perlu memastikan meletak kenderaan di kawasan yang ditetapkan. “Penyokong Pahang akan duduk di bahagian kanan stadium. Tempat letak kenderaan bagi penyokong Pahang ialah di pintu A dan C berhampiran Stadium Melawati, manakala bagi penyokong Kelantan di pintu B dan D berhampiran tempat letak kereta pasaraya Giant,” katanya.

FAM perangi 'ulat tiket'

Kerjasama dengan polis bendung kegiatan jual tiket di stadium, Ahad ini Shah Alam: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melancarkan perang dan mengambil tindakan tegas terhadap 'ulat tiket' yang cuba menjual tiket final Piala Malaysia antara Pahang dan Kelantan di sekitar Stadium Shah Alam, Ahad ini. Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pegawai badan induk itu akan dikerah ke segenap stadium dan akan bekerjasama rapat dengan polis bagi mengesan kegiatan 'ulat tiket'. Ikuti berita penuh kerancakan menjelang final Piala Malaysia dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Tuesday, October 22, 2013

Denda RM20,000 hina Sultan Johor

Lelaki didapati bersalah buat komen negatif di Facebook Johor Bahru: Seorang juru ukur bahan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas didapati bersalah menggunakan laman sosial bagi menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, Oktober tahun lalu. Ahmad Abd Jalil, 28, yang sedang mengikuti pengajian pada peringkat sarjana di sebuah institut pengajian tinggi, diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda ditetapkan. Keterangan tertuduh yang tidak pernah muat naik gambar, tidak menghantar SMS, tidak mempunyai kaitan dengan akaun Facebook dan tidak mengenali Ibrahim Osman, penafian semata-mata” Muhammad Jamil Hussin, Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Dalam penghakimannya, Hakim Muhammad Jamil Hussin berkata, mahkamah mendapati keterangan tertuduh yang tidak pernah muat naik gambar, tidak menghantar SMS, tidak mempunyai kaitan dengan akaun Facebook dan tidak mengenali Ibrahim Osman, penafian semata-mata. Ahmad dituduh menggunakan aplikasi Facebook, http://www.facebook.com/ibrahim.osman.313371 dengan nama profail ‘Zul Yahya’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi satu komen bersifat jelik. Buat komen negatif Dia dituduh membuat komen negatif terhadap Sultan Johor dengan niat menyakiti institusi Kesultanan Johor dan rakyat pada jam 6 petang pada 10 Oktober 2012. Dia dituduh menggunakan laman sosial Facebook di alamat internet protokol 175.139.168.216 di RD Resources Sdn Bhd di Nombor 30-3, Jalan Wangsa Delima 11, Seksyen 5, Kuala Lumpur. Ahmad didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama. Jika Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. Dalam prosiding semalam, peguam bela tertuduh, Mohd Radzlan Jalaludin, merayu mahkamah supaya anak guamnya tidak dipenjara dan memohon dikenakan denda munasabah dengan alasan tertuduh sedang menyambung pengajian pada peringkat sarjana. Beliau memberi alasan hukuman penjara boleh menjejaskan masa depan anak guamnya selain tertuduh mempunyai 10 adik beradik dan isteri yang sedang menuntut di universiti. Kesalahan serius Bagaimanapun, Ketua Unit Pendakwaan Johor, Umar Saifuddin Jaafar dan Norashikin Ibrahim, memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya kerana kesalahan menghina Sultan Johor adalah perkara serius. Muhammad Jamil menjatuhkan hukuman itu dengan mengambil kira ia adalah kesalahan pertama tertuduh. Keluarga tertuduh turut hadir dalam prosiding semalam, tetapi dia melarikan diri dan gambarnya tidak dapat dirakamkan.

'Dia adik yang baik, sering ambil berat hal keluarga' - Abang Noreen Noor

MELAKA: "Dia seorang adik yang baik dan sering mengambil berat mengenai keluarga. Kami terasa kehilangannya,' demikian kata Rosli Md Nor, 56, abang kepada Allahyarham Noreen Noor yang meninggal dunia pagi tadi. Rosli berkata, berita kematian adiknya itu dimaklumkan jam 6 pagi tadi. "Sejurus itu, kami memutuskan untuk mengebumikan jenazah di Kampung Pulai (Serkam, Melaka) selepas Zohor ini," katanya. Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah adiknya itu. Sementara itu, penduduk Kampung Pulai, Ibrahim Jebah, 66, Allahyarham Noreen seorang yang suka menderma. "Sepanjang hidupnya, Allahyarham banyak membantu orang kampung yang miskin dan sakit. "Setiap kali pulang ke kampung, ada saja duit ditinggalkan kepada saya untuk diagihkan kepada golongan berkenaan. Kami terhutang budi dengan Allahyaham. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya," katanya

Monday, June 03, 2013

Restoran 'hidang' gadis Vietnam diserbu

KLUANG 3 Jun - Perkhidmatan karaoke bersama gadis Vietnam yang menjadi 'hidangan istimewa' sebuah restoran di sini hanya mampu bertahan selama tiga bulan selepas premis tersebut diserbu Jabatan Imigresen kelmarin. Dalam serbuan pada pukul 12.25 tengah malam itu, seramai lapan perempuan warga Vietnam dan tiga lelaki warga Indonesia ditahan kerana tidak memiliki permit pekerjaan. - UTUSAN ONLINE Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130603/je_11/Restoran-hidang-gadis-Vietnam-diserbu#ixzz2V9DY4KMl © Utusan Melayu (M) Bhd

Syarikat pembalakan sedia bantu apungkan bot karam

KUCHING 3 Jun - Sebuah syarikat pembalakan swasta bersedia untuk membantu mengapungkan bot ekspres yang karam di Giam Bungan, Sungai Rajang, dekat Belaga, Sibu Selasa lalu. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam pertemuan dengan beliau malam tadi. Katanya, Ketua Menteri telah pun meminta sebuah syarikat pembalakan swasta yang mempunyai perkhidmatan jentolak dan kren bagi membantu usaha mengapungkan bot ekspres yang karam itu. "Melalui usaha tersebut, kita berharap dua lagi mangsa yang masih hilang dan dipercayai terperangkap di dalam bot berkenaan dapat ditemui segera. "Ketua Menteri turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat tidak perlu menanggung sebarang kos dalam usaha mengapungkan bot berkenaan," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN ONLINE Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130603/dn_23/Syarikat-pembalakan-sedia-bantu-apungkan-bot-karam#ixzz2V9CW5ZOq © Utusan Melayu (M) Bhd

Saturday, June 01, 2013

Polis kenal pasti

KUALA LUMPUR 31 Mei - Polis telah mengenal pasti identiti beberapa individu yang bertanggungjawab merancang menggulingkan kerajaan menerusi pergerakan pasukan tentera siber Red Bean Army. Menurut sumber, sebanyak 30 individu telah dikesan menjadi orang upahan pihak pembangkang untuk melancarkan serangan ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi blog, laman sosial dan YouTube. "Identiti lima atau enam daripada jumlah itu telah dikenal pasti sejak lebih seminggu lalu dan pasukan keselamatan percaya akan menangkap mereka dalam tempoh terdekat untuk menghapuskan kegiatan kumpulan ini yang diwujudkan bertujuan memburuk-burukkan kerajaan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. Sumber berkata, walaupun pada awalnya beratus-ratus akaun Facebook dikesan menjalankan kegiatan itu sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat Malaysia, tetapi siasatan polis mendapati itu hanya akaun palsu yang dimiliki oleh 30 individu yang terlibat. Red Bean Army difahamkan bergerak secara siber yang mempunyai misi menggulingkan kerajaan dengan dibantu oleh pihak tertentu dalam memberi dana dan bantuan kepada mereka. Untuk rekod, sebelum ini akhbar melaporkan berita mengenai Red Bean Army adalah tentera siber yang dipercayai ditaja oleh DAP yang ditugaskan menyerang mana-mana tokoh politik, perniagaan, ikon hiburan serta sesiapa sahaja yang dilihat mesra BN melalui media alternatif seperti blog, Facebook, Twitter dan YouTube bagi membangkitkan kebencian pengundi Cina. Selain itu, Red Bean Army didakwa ditubuhkan untuk mencipta penipuan dan memanipulasi fakta dan menyuntik kebencian terhadap kerajaan oleh ahli yang diberi latihan oleh DAP serta dibayar gaji tetap sebanyak RM3,000 sebulan sejak enam tahun lalu. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130601/po_01/Polis-kenal-pasti#ixzz2UvnX3v7R © Utusan Melayu (M) Bhd

Jangan percaya khabar angin

TELOK KEMANG 31 Mei - Penduduk Sabah khususnya di Sandakan dan Lahad Datu diingatkan tidak terpengaruh dengan khabar angin kononnya pengganas kumpulan Kiram merancang menceroboh kawasan itu sekali lagi pada bila-bila masa. Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, khabar angin itu adalah tidak berasas dan bertujuan menakut-nakutkan penduduk di kawasan tersebut. Menurut beliau, pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau keadaan keselamatan di kawasan berkenaan bagi melindungi rakyat serta mempertahan negara daripada sebarang ancaman. Katanya, sehingga hari ini, anggota keselamatan masih menjalankan kerja-kerja memantau keadaan di Sabah dan pihaknya akan memaklumkan kepada penduduk setempat sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan. "Saya nasihatkan kepada orang ramai di kawasan terbabit supaya tidak mempercayai khabar angin itu kerana kita memantau menerusi kerjasama PDRM selain maklumat daripada perisikan," katanya. Beliau ditemui pemberita dalam Majlis Penutupan Summer Camp 2 Program Remaja Berwawasan Peringkat Nasional di Pusat Latihan Asas tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, dekat sini hari ini. Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Zulkifeli mengulas khabar angin kononnya kumpulan pengganas Kiram sekali lagi akan menceroboh Sandakan, Sabah dan beberapa kawasan lain di negeri itu bulan depan. Menurut Zulkifeli, segala maklumat mengenai pergerakan pengganas adalah dalam radar pasukannya dan sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berhubung perkara itu. "Jika berlaku sesuatu kerajaan akan memaklumkan kepada penduduk di kawasan itu. Jadi penduduk yakinlah segala bentuk ancaman kita akan ketahui dan tidak perlu berasa bimbang," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130601/dn_03/Jangan-percaya-khabar-angin#ixzz2Uvkwn0pr © Utusan Melayu (M) Bhd

Rakyat perlu akur keputusan PRU-13

KUALA LUMPUR 31 Mei - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mahu rakyat di negara ini akur dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang telah ditentukan oleh mereka sendiri. Sambil merakamkan tahniah kepada Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih, Seri Paduka berharap semua pihak di negara ini memelihara keutuhan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak merdeka. "Jika ada perbezaan pendapat, gunakanlah kaedah penyelesaian seperti mana yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara," titah Seri Paduka sempena ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong esok yang disiarkan secara langsung menerusi RTM di sini malam ini. Seri Paduka bertitah: "Tindakan menanam kesangsian kepada institusi yang telah diamanahkan Perlembagaan Persekutuan untuk mengelolakan pilihan raya di negara ini ialah perbuatan yang amat berbahaya dan hanya bakal menuai badai pertelingkahan yang tidak berkesudahan." "Janganlah kita sekali-kali melemah dan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan Falsafah Persekutuan yang selama ini mendasari ramuan kejayaan Malaysia," titah Seri Paduka. Tuanku Abdul Halim bertitah, sebarang perubahan politik di negara ini perlulah dilakukan secara aman dan menerusi peti undi berpandukan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang. "Apakah kita sanggup melihat Malaysia yang tercinta ini hancur dan lumpuh disebabkan perbuatan kita sendiri. Merosakkan sebuah kejayaan amat mudah, namun untuk membinanya kembali amatlah sukar. "Oleh itu, janganlah benarkan ia terjadi, wariskanlah Malaysia yang bersatu dan berjaya, kepada generasi Malaysia yang mendatang. Bak kata pepatah, sudah terhantuk baru terngadah, seribu penyesalan sudah tidak berguna," titah Seri Paduka. Yang di-Pertuan Agong mengingatkan Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih supaya berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan terbaik untuk rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Tuanku Abdul Halim turut mengajak rakyat bersama-sama meneruskan usaha mencapai matlamat nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Seri Paduka mengingatkan semua pihak bahawa keamanan dan kemakmuran yang dinikmati saat ini bukannya datang bergolek, sebaliknya hasil daripada pelaksanaan yang teliti dan rapi oleh para pemimpin terdahulu. "Menjelang tanggal 31 Ogos ini genaplah 56 tahun kita mencapai kemerdekaan, manakala pada 16 September pula kita akan meraikan 50 tahun pembentukan Malaysia. "Hakikatnya, walaupun secara relatifnya Malaysia merupakan sebuah negara yang masih muda, namun kita telah berjaya meletakkan kedudukan negara pada tempat yang membanggakan seperti yang ada pada hari ini. "Namun, walau sempurna mana pun strategi yang telah dirangka oleh kerajaan, walau secekap mana pun pelaksanaannya, jika tidak wujud keamanan dalam negara, mana mungkin semua hasrat yang diimpikan mampu dizahirkan," titah Seri Paduka. Tuanku Abdul Halim turut mengingatkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan anutan agama dipersatukan dengan lima prinsip Rukun Negara yang merupakan ideologi kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130601/dn_02/Rakyat-perlu-akur-keputusan-PRU-13#ixzz2UvjAGXVb © Utusan Melayu (M) Bhd

Jangan rosakkan kebolehpercayaan SPR hanya kerana kepentingan diri, kelompok

KUALA LUMPUR 1 Jun - Kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menambah baik wibawa perjalanan pilihan raya di negara ini walaupun pilihan raya umum ke-13 (PRU13) telah berlangsung dengan baik dan lancar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. Perdana menteri menegaskan janganlah kerana kepentingan diri dan kelompok tertentu, ada pihak cuba merosakkan kebolehpercayaan institusi itu dengan melempar pelbagai persepsi liar. Beliau menarik perhatian hakikat SPR bukanlah sebuah agensi atau jabatan kerajaan, sebaliknya sebuah mekanisme yang ditubuh berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan anggotanya mendapat perlindungan jawatan yang sama dengan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan. Najib berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu"adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara. Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat menghadiri majlis itu. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130601/dn_20/Jangan-rosakkan-kebolehpercayaan-SPR-hanya-kerana-kepentingan-diri-kelompok#ixzz2UvhqtjyY © Utusan Melayu (M) Bhd

Kerajaan BN payung kepada setiap rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR 1 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sedar mengenai keretakan pertautan nasional dan timbulnya rasa terpinggir dalam kalangan sesetengah rakyat Malaysia, dan komited untuk menangani cabaran itu. Perdana menteri berkata situasi itu berlaku akibat polemik nasional yang bersandarkan kepercayaan, ras, pegangan politik, demografik bandar, luar bandar dan kelas. Najib bagaimanapun berkata beliau dan rakan-rakan dalam kerajaan akur bahawa mereka memikul amanah dan tanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia sama ada yang menyokong mereka ataupun tidak susulan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini yang menyaksikan BN kembali menerajui kerajaan persekutuan. "Kerajaan Tuanku ialah kerajaan yang menjadi payung kepada setiap rakyat Malaysia," tegas beliau dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu"adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130601/dn_22/Kerajaan-BN-payung-kepada-setiap-rakyat-Malaysia#ixzz2Uvh5Cuym © Utusan Melayu (M) Bhd

Tingkat kualiti tadbir urus, integriti antara tumpuan baharu kerajaan

KUALA LUMPUR 1 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, meningkatkan kualiti tadbir urus dan integriti merentas semua segmen merupakan antara bidang tumpuan baharu kerajaan. Perdana menteri berkata selain itu, kerajaan akan memperhebatkan usaha memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa. Najib berkata untuk membuktikan keseriusan iltizam kerajaan dalam menangani isu tadbir urus, integriti dan rasuah, kerajaan telah merangka sebuah pelan integriti yang bersifat merentas batas dan menyeluruh. "Butiran mengenai pelaksanaan khusus pelan ini akan saya umumkan dalam masa terdekat," katanya ketika menyampaikan ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu"adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara. Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat menghadiri majlis itu. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130601/dn_23/Tingkat-kualiti-tadbir-urus-integriti-antara-tumpuan-baharu-kerajaan#ixzz2UvgIjNS1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, October 23, 2012

Malaysia pertahan Islam agama rasmi

Kuala Lumpur: Malaysia tidak pernah diisytiharkan negara sekular, sebaliknya memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata kedudukan itu berbeza dengan Amerika Syarikat, India dan Turki yang jelas memperuntukkan dalam Perlembagaan mereka sebagai negara sekular. Katanya, kedudukan Islam yang istimewa berbanding agama lain turut diiktiraf dalam kes yang sudah diputuskan di mahkamah tertinggi negara, seperti dalam kes Lina Joy dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) (2007) dan kes Che Omar Che Soh dengan Pendakwa Raya (1988). Undang-undang sekular terus dipakai “Kerajaan juga menyedari dalam kes Che Omar Che Soh, Mahkamah Agung tidak pernah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara sekular, tetapi apa yang diputuskan adalah undang-undang sekular terus terpakai di Malaysia berdasarkan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan. “Sungguhpun begitu, didapati bahawa di bawah Perkara 162 (Perlembagaan Persekutuan), perkataan digunakan bagi merujuk kepada undang-undang digubal sebelum Hari Malaysia adalah undang-undang sedia ada (existing laws) dan bukan undang-undang sekular. “Berdasarkan kes Che Omar, jelas menunjukkan Malaysia tidak pernah diputus atau diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular,” katanya menjawab soalan John Fernandez (DAP-Seremban) di Dewan Rakyat, semalam.