Tuesday, October 22, 2013

Denda RM20,000 hina Sultan Johor

Lelaki didapati bersalah buat komen negatif di Facebook Johor Bahru: Seorang juru ukur bahan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas didapati bersalah menggunakan laman sosial bagi menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, Oktober tahun lalu. Ahmad Abd Jalil, 28, yang sedang mengikuti pengajian pada peringkat sarjana di sebuah institut pengajian tinggi, diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda ditetapkan. Keterangan tertuduh yang tidak pernah muat naik gambar, tidak menghantar SMS, tidak mempunyai kaitan dengan akaun Facebook dan tidak mengenali Ibrahim Osman, penafian semata-mata” Muhammad Jamil Hussin, Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Dalam penghakimannya, Hakim Muhammad Jamil Hussin berkata, mahkamah mendapati keterangan tertuduh yang tidak pernah muat naik gambar, tidak menghantar SMS, tidak mempunyai kaitan dengan akaun Facebook dan tidak mengenali Ibrahim Osman, penafian semata-mata. Ahmad dituduh menggunakan aplikasi Facebook, http://www.facebook.com/ibrahim.osman.313371 dengan nama profail ‘Zul Yahya’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi satu komen bersifat jelik. Buat komen negatif Dia dituduh membuat komen negatif terhadap Sultan Johor dengan niat menyakiti institusi Kesultanan Johor dan rakyat pada jam 6 petang pada 10 Oktober 2012. Dia dituduh menggunakan laman sosial Facebook di alamat internet protokol 175.139.168.216 di RD Resources Sdn Bhd di Nombor 30-3, Jalan Wangsa Delima 11, Seksyen 5, Kuala Lumpur. Ahmad didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama. Jika Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. Dalam prosiding semalam, peguam bela tertuduh, Mohd Radzlan Jalaludin, merayu mahkamah supaya anak guamnya tidak dipenjara dan memohon dikenakan denda munasabah dengan alasan tertuduh sedang menyambung pengajian pada peringkat sarjana. Beliau memberi alasan hukuman penjara boleh menjejaskan masa depan anak guamnya selain tertuduh mempunyai 10 adik beradik dan isteri yang sedang menuntut di universiti. Kesalahan serius Bagaimanapun, Ketua Unit Pendakwaan Johor, Umar Saifuddin Jaafar dan Norashikin Ibrahim, memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya kerana kesalahan menghina Sultan Johor adalah perkara serius. Muhammad Jamil menjatuhkan hukuman itu dengan mengambil kira ia adalah kesalahan pertama tertuduh. Keluarga tertuduh turut hadir dalam prosiding semalam, tetapi dia melarikan diri dan gambarnya tidak dapat dirakamkan.

No comments: