Tuesday, October 23, 2012

Malaysia pertahan Islam agama rasmi

Kuala Lumpur: Malaysia tidak pernah diisytiharkan negara sekular, sebaliknya memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata kedudukan itu berbeza dengan Amerika Syarikat, India dan Turki yang jelas memperuntukkan dalam Perlembagaan mereka sebagai negara sekular. Katanya, kedudukan Islam yang istimewa berbanding agama lain turut diiktiraf dalam kes yang sudah diputuskan di mahkamah tertinggi negara, seperti dalam kes Lina Joy dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) (2007) dan kes Che Omar Che Soh dengan Pendakwa Raya (1988). Undang-undang sekular terus dipakai “Kerajaan juga menyedari dalam kes Che Omar Che Soh, Mahkamah Agung tidak pernah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara sekular, tetapi apa yang diputuskan adalah undang-undang sekular terus terpakai di Malaysia berdasarkan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan. “Sungguhpun begitu, didapati bahawa di bawah Perkara 162 (Perlembagaan Persekutuan), perkataan digunakan bagi merujuk kepada undang-undang digubal sebelum Hari Malaysia adalah undang-undang sedia ada (existing laws) dan bukan undang-undang sekular. “Berdasarkan kes Che Omar, jelas menunjukkan Malaysia tidak pernah diputus atau diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular,” katanya menjawab soalan John Fernandez (DAP-Seremban) di Dewan Rakyat, semalam.