Wednesday, November 06, 2013

Polis rampas dadah RM14.6 juta di Jelutong

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM14.6 juta yang disembunyikan di dalam stor di sebuah pangsapuri di Jelutong di sini, Sabtu lalu. Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata hasil siasatan mendapati rumah terbabit disewa oleh seorang lelaki berusia 20-an. Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek sudah ditahan polis China beberapa bulan lalu bersama dadah di negara terbabit.

Calon SPM rebah, meninggal dunia selepas 30 minit jawab soalan

KOTA BAHRU: Seorang calon yang menduduki hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Agama (SMA) Saniah, Pasir Puteh, dekat sini dilaporkan rebah dan meninggal dunia selepas kira-kira 30 minit menjawab soalan, pagi ini. Pelajar terbabit dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis (HTA) di sini. Pelajar perempuan berkenaan, NurSyazwani Arifin, 17, dikatakan sedang menjawab kertas Bahasa Melayu 1 apabila tiba-tiba rebah dan pengsan di atas lantai dewan pemeriksaan sekolah itu.

Friday, November 01, 2013

JANA KEHIDUPAN DENGAN KLIK

Kenderaan curi diseludup ke Pontianak, dihantar semula ke Sarawak

KUCHING: Sejumlah 29 kenderaan yang dicuri dari Sarawak dan diseludup ke Pontianak, Indonesia akan dihantar semula ke negeri ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhammad Sabtu Osman. Beliau berkata kejayaan menemui semula kenderaan itu adalah hasil kerjasama polis Sarawak dengan polis di wilayah negara jiran itu. "Semua kenderaan itu akan dibawa balik. Polis Sarawak juga telah menghantar anggota untuk membantu siasatan hasil penemuan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Sarawak (IPK) di sini hari ini. Pada majlis sama, Muhammad Sabtu turut menyerahkan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 kepada 66 pegawai, anggota dan penjawat awam dalam pasukan. Sementara itu, Muhammad Sabtu berkata statistik indeks jenayah polis IPK Sarawak bagi tempoh Januari hingga hari ini, berjaya dikurangkan 11.23 peratus berbanding tempoh sama, tahun lalu. "Bagi tempoh itu 6,859 kes dicatat berbanding 7,727 kes tahun lepas. Penurunan kes itu adalah hasil kejayaan operasi, rondaan anggota polis di samping kerjasama baik diterima daripada masyarakat. "Oleh itu saya menyeru anggota polis untuk lebih dekat dan dampingi masyarakat dan dalam masa yang sama saya mengalu-alukan masyarakat untuk turut sama berbuat demikian dan terlibat dengan apa jua aktiviti anjuran polis," katanya. - BERNAMA

Penurunan drastik kegiatan lanun di Selat Melaka sejak 1999 - APMM

LUMUT: Kegiatan lanun di perairan negara terutama di Selat Melaka mengalami penurunan drastik sejak penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 1999. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar, berkata pemantauan dan penguatkuasaan berterusan yang dilakukan agensi itu merekodkan tiada rompakan kapal dagang dilaporkan sepanjang tempoh empat tahun iaitu 2009, 2010, 2012 dan 2013 (sehingga Oktober lalu). "Kita hanya merekodkan dua kes membabitkan rompakan lanun pada 2011 dan satu daripadanya berjaya diselesaikan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bot nelayan Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia di atas Kapal Maritim Marlin, Kampung Acheh, Sitiawan, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Maritim, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Zulkifli Abu Bakar. Bot itu dirampas sekumpulan lanun Indonesia pada 9 Julai lalu dan mereka turut meminta wang tebusan sebanyak RM200,000 kepada pemiliknya, Tan Tiang Eng bagi mendapatkan semula bot itu serta dua awak-awaknya. Bagaimanapun, tindakan bijak Tiang Eng melaporkan kes itu kepada APMM berjaya mengesan bot itu Ogos lalu di kawasan Acheh Timur, kira-kira 70 batu nautika dari bot itu dirampas iaitu kawasan perairan timur Pulau Pinang. Ahmad Puzi berkata, pihaknya memberi jaminan kawasan perairan negara masih selamat dan terkawal daripada sebarang pencerobohan atau kegiatan lanun. "Sepanjang tahun ini, hanya tiga kes direkodkan membabitkan bot nelayan yang dirampas lanun tetapi kes itu berjaya diselesaikan dengan kerjasama daripada rakan sejawat di Indonesia," katanya. Katanya, APMM juga sudah merampas 627 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara sejak 2006 hingga sekarang dan lebih separuh tangkapan yang dibuat membabitkan bot nelayan Vietnam. "Daripada jumlah itu, nilai rampasan yang dibuat sebanyak RM250 juta," katanya. Sementara itu, Tiang Eng berkata, dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada APMM kerana tindakan pantas pasukan itu berjaya menyelamatkan bot dan dua pekerjanya daripada menjadi tebusan lanun asing itu. "Nelayan tempatan dan pengusaha bot perlu prihatin dengan permasalahan seperti ini dengan melaporkan kegiatan jenayah kepada pihak berwajib supaya tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya.

Kim Swee bawa Syahrul Azwari ke Phnom Penh

Kuala Lumpur: Jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan pemain sayap, Syahrul Azwari Ibrahim untuk bersama-sama 21 pemain lain terbang ke Phnom Penh, Kemboja, semalam bagi menyertai kejohanan jemputan Piala BIDC 2013 yang bermula esok. Syahrul Azwari, 20, sebelum ini sedang mengikuti latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak 21 Oktober lalu, namun secara tiba-tiba dilepaskan jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal, kelmarin untuk kembali bersama skuad B-23 negara. “Tiba-tiba semalam (kelmarin) Rajagobal beri pelepasan buat Syahrul Azwari lantas saya terus menyenaraikannya untuk ke Kemboja. Jadi saya terpaksa gugurkan Hazwan Rahman yang mengalami kecederaan untuk melengkapkan senarai 22 pemain ke Kemboja,” kata Kim Swee sebelum berlepas ke Phnom Penh, petang semalam. Jordan ujian sebenar Skuad Harimau Muda A yang diundi dalam Kumpulan B bakal bertemu tuan rumah, Kemboja, esok diikuti Laos pada Isnin. Manakala Kumpulan A membariskan Thailand, Vietnam dan Myanmar. “Jika kita menduduki dua tempat teratas, separuh akhir bakal berlangsung pada 8 November manakala jika ke final pada 10 November, kita akan terus bertolak ke Jordan dari Phnom Penh pada 11 November. “Tapi jika gagal ke separuh akhir, kita akan pulang ke Kuala Lumpur terlebih dulu pada 7 November sebelum ke Jordan,” jelas Kim Swee yang pasukannya bakal berdepan ujian sebenar pada dua aksi persahabatan bertemu skuad B-23 Jordan, 12 dan 14 November di Amman.

Piya terima ugutan bunuh

Kota Bharu: Selepas pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin menerima ugutan bunuh di Facebook September lalu, kini giliran kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi pula mendapat ugutan sama daripada seorang individu menerusi laman sosial itu, semalam. Mohd Badhri yang lebih mesra dengan panggilan Piya ketika dihubungi berkata, dia memandang serius berhubung ugutan berkenaan namun enggan memikirkannya kerana mahu memberi tumpuan penuh terhadap final Piala Malaysia yang akan berlangsung dua hari lagi. Katanya, dia menyokong dan akan bekerjasama sekiranya terdapat kelab penyokong mahu membuat laporan polis berhubung ugutan berkenaan. Buat laporan polis “Saya hanya tahu perkara ini selepas dimaklumkan oleh media. Tapi saya memandang serius perkara ini. Kita tidak boleh bermain-main dengan ugutan bunuh. Buat masa ini saya tidak sempat untuk membuat laporan polis kerana sibuk menjalani latihan," katanya semalam. Individu yang menggunakan akaun Facebook, Elman Ganu difahamkan menghantar mesej di dalam akaun milik Budok Juvana yang menghina pasukan Kelantan dan ugutan bunuh terhadap Mohd Badhri. Antara kandungan mesej Elman Ganu yang dihantar termasuk 'Aku akan upah orang bunuh Badhri Radzi' dan menggunakan perkataan lucah dan kesat terhadap rakyat Kelantan. Perkara berkenaan dianggap serius oleh penyokong TRW apabila Kelab Bantuan Kemasyarakatan Kelantan (KSBK) bertindak membuat laporan polis berhubung ugutan itu di Balai Polis Kota Bharu, di sini, semalam.

2,000 anggota polis bertugas pada final

Shah Alam: Kira-kira 2,000 anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal trafik dan keselamatan ketika saingan kemuncak Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam, Ahad ini. Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata langkah mengerah sejumlah besar anggota ke stadium itu bertujuan memastikan tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini. “Semua anggota itu akan ditempatkan di segenap stadium termasuk di kawasan letak kenderaan, di laluan masuk dan keluar stadium serta di pintu tiket. Jamin keselamatan “Kami akan sedaya upaya berusaha menjamin keselamatan penyokong,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, semalam. Abdul Rahim berkata, penyokong setiap negeri akan dipisahkan dengan tempat duduk yang sudah dikhaskan dan juga perlu memastikan meletak kenderaan di kawasan yang ditetapkan. “Penyokong Pahang akan duduk di bahagian kanan stadium. Tempat letak kenderaan bagi penyokong Pahang ialah di pintu A dan C berhampiran Stadium Melawati, manakala bagi penyokong Kelantan di pintu B dan D berhampiran tempat letak kereta pasaraya Giant,” katanya.

FAM perangi 'ulat tiket'

Kerjasama dengan polis bendung kegiatan jual tiket di stadium, Ahad ini Shah Alam: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melancarkan perang dan mengambil tindakan tegas terhadap 'ulat tiket' yang cuba menjual tiket final Piala Malaysia antara Pahang dan Kelantan di sekitar Stadium Shah Alam, Ahad ini. Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pegawai badan induk itu akan dikerah ke segenap stadium dan akan bekerjasama rapat dengan polis bagi mengesan kegiatan 'ulat tiket'. Ikuti berita penuh kerancakan menjelang final Piala Malaysia dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/