Friday, November 01, 2013

Penurunan drastik kegiatan lanun di Selat Melaka sejak 1999 - APMM

LUMUT: Kegiatan lanun di perairan negara terutama di Selat Melaka mengalami penurunan drastik sejak penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 1999. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar, berkata pemantauan dan penguatkuasaan berterusan yang dilakukan agensi itu merekodkan tiada rompakan kapal dagang dilaporkan sepanjang tempoh empat tahun iaitu 2009, 2010, 2012 dan 2013 (sehingga Oktober lalu). "Kita hanya merekodkan dua kes membabitkan rompakan lanun pada 2011 dan satu daripadanya berjaya diselesaikan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bot nelayan Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia di atas Kapal Maritim Marlin, Kampung Acheh, Sitiawan, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Maritim, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Zulkifli Abu Bakar. Bot itu dirampas sekumpulan lanun Indonesia pada 9 Julai lalu dan mereka turut meminta wang tebusan sebanyak RM200,000 kepada pemiliknya, Tan Tiang Eng bagi mendapatkan semula bot itu serta dua awak-awaknya. Bagaimanapun, tindakan bijak Tiang Eng melaporkan kes itu kepada APMM berjaya mengesan bot itu Ogos lalu di kawasan Acheh Timur, kira-kira 70 batu nautika dari bot itu dirampas iaitu kawasan perairan timur Pulau Pinang. Ahmad Puzi berkata, pihaknya memberi jaminan kawasan perairan negara masih selamat dan terkawal daripada sebarang pencerobohan atau kegiatan lanun. "Sepanjang tahun ini, hanya tiga kes direkodkan membabitkan bot nelayan yang dirampas lanun tetapi kes itu berjaya diselesaikan dengan kerjasama daripada rakan sejawat di Indonesia," katanya. Katanya, APMM juga sudah merampas 627 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara sejak 2006 hingga sekarang dan lebih separuh tangkapan yang dibuat membabitkan bot nelayan Vietnam. "Daripada jumlah itu, nilai rampasan yang dibuat sebanyak RM250 juta," katanya. Sementara itu, Tiang Eng berkata, dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada APMM kerana tindakan pantas pasukan itu berjaya menyelamatkan bot dan dua pekerjanya daripada menjadi tebusan lanun asing itu. "Nelayan tempatan dan pengusaha bot perlu prihatin dengan permasalahan seperti ini dengan melaporkan kegiatan jenayah kepada pihak berwajib supaya tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya.

No comments: