Friday, November 01, 2013

Piya terima ugutan bunuh

Kota Bharu: Selepas pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin menerima ugutan bunuh di Facebook September lalu, kini giliran kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi pula mendapat ugutan sama daripada seorang individu menerusi laman sosial itu, semalam. Mohd Badhri yang lebih mesra dengan panggilan Piya ketika dihubungi berkata, dia memandang serius berhubung ugutan berkenaan namun enggan memikirkannya kerana mahu memberi tumpuan penuh terhadap final Piala Malaysia yang akan berlangsung dua hari lagi. Katanya, dia menyokong dan akan bekerjasama sekiranya terdapat kelab penyokong mahu membuat laporan polis berhubung ugutan berkenaan. Buat laporan polis “Saya hanya tahu perkara ini selepas dimaklumkan oleh media. Tapi saya memandang serius perkara ini. Kita tidak boleh bermain-main dengan ugutan bunuh. Buat masa ini saya tidak sempat untuk membuat laporan polis kerana sibuk menjalani latihan," katanya semalam. Individu yang menggunakan akaun Facebook, Elman Ganu difahamkan menghantar mesej di dalam akaun milik Budok Juvana yang menghina pasukan Kelantan dan ugutan bunuh terhadap Mohd Badhri. Antara kandungan mesej Elman Ganu yang dihantar termasuk 'Aku akan upah orang bunuh Badhri Radzi' dan menggunakan perkataan lucah dan kesat terhadap rakyat Kelantan. Perkara berkenaan dianggap serius oleh penyokong TRW apabila Kelab Bantuan Kemasyarakatan Kelantan (KSBK) bertindak membuat laporan polis berhubung ugutan itu di Balai Polis Kota Bharu, di sini, semalam.

No comments: