Monday, June 03, 2013

Syarikat pembalakan sedia bantu apungkan bot karam

KUCHING 3 Jun - Sebuah syarikat pembalakan swasta bersedia untuk membantu mengapungkan bot ekspres yang karam di Giam Bungan, Sungai Rajang, dekat Belaga, Sibu Selasa lalu. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam pertemuan dengan beliau malam tadi. Katanya, Ketua Menteri telah pun meminta sebuah syarikat pembalakan swasta yang mempunyai perkhidmatan jentolak dan kren bagi membantu usaha mengapungkan bot ekspres yang karam itu. "Melalui usaha tersebut, kita berharap dua lagi mangsa yang masih hilang dan dipercayai terperangkap di dalam bot berkenaan dapat ditemui segera. "Ketua Menteri turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat tidak perlu menanggung sebarang kos dalam usaha mengapungkan bot berkenaan," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN ONLINE Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130603/dn_23/Syarikat-pembalakan-sedia-bantu-apungkan-bot-karam#ixzz2V9CW5ZOq © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: