Tuesday, January 13, 2009

Israel semakin besar kepala

Semenanjung Gaza semakin hari semakin sengsara akibat kekejaman Israel yang tidak putus-putus menyerang tempat tersebut. Bangunan-bangunan di Gaza sudah hancur akibat letupan bom oleh tentera Israel sehingga menyebabkan rakyat Hamas menderita dan tiada tempat untuk berteduh. Ramai dikalangan mereka lari dari tempat asal mereka untuk mencari tempat yang selamat dari terjahan tentera Israel. Namun begitu, tentera Israel semakin rancak melancarkan serangan dan dikatakan bahawa serangan kali ini telah memasuki fasa ke tiga. Fasa ketiga merupakan fasa yang sangat hebat kerana ia melibatkan ramai tentera darat Israel yang akan memasuki jauh ke dalam bandaraya Gaza dan akan membunuh lebih ramai lagi penduduk-penduduk Hamas.

Dunia pada hari sedang giat mengatur strategi bagaimana hendak mengembalikan keamanan di Gaza dengan mengadakan tunjuk perasaan secara aman di kedutaan Amerika di serata tempat. Tetapi suara sebegini jarang mendapat perhatian daripada mereka yang angkuh dan tidak berperikemanusiaan seperti Israel dan sekutunya.

Israel masih dengan egonya mahu menghancurkan palestin hingga ke lubang cacing sekalipun. Rakyat yang tidak berdosa akan menjadi mangsa kekecaman rejim Zionist dan akan terbunuh satu persatu bagi mempertahankan kedaulatan mereka.

Malaysia juga serius dalam menangani konflik ini, beberapa usaha sedang di rangka untuk mengurangkan penderitaan rakyat palestin di Gaza. Perbincangan demi perbincangan telah dijalankan agar dapat mencari jalan penyelesaian yang berkesan bagi menghentikan konflik ini.

Tribunal Jenayah Perang telah dipersetujui oleh Ahli Parlimen Malaysia tidak kira dari kerajaan atau pembangkang agar Israel dikenakan undang-undang tersebut. Mereka mengesa agar PBB menerima cadangan ini untuk membawa Israel ke Tribunal Jenayah Perang untuk kepentingan manusia sejagat.

Apabila cadangan daripada Parlimen Malaysia diguna pakai oleh PBB nescaya krisis seumpama ini mampu ditangani dengan lebih efektif dan berkesan. Israel juga akan rasa tergugat dengan keseriusan badan dunia seperti PBB mahu menwujudkan kedamaian bagi masyarakat dunia hari ini. Mereka (Israel) mungkin akan terasa terancam dengan tindak tanduk PBB dan berkemungkinan konflik ini boleh dihentikan.

Kita juga percaya bahawa pada hari ini masyarakat dunia akan konsensus dengan pendirian Malaysia yang mahukan Israel dihadapkan ke Tribunal Jenayah Perang seperti yang telah dilakukan kepada Sadam Hussein. Mereka (masyarakat dunia) memang mahukan keadilan dilaksanakan dengan seadil-adilnya bagi mengheret Israel ke muka pengadilan.

Di samping itu, PBB juga harus bertindak lebih serius menangani konflik ini kerana PPB sahaja badan dunia yang berkuasa. Ia juga sepatutnya mempunyai tentera khas (Keamanan) untuk membantu negara-negara seperti Palestin bagi melawan tentera rejim Israel.

Walau bagaimanapun kita melihat bahawa PBB seolah-olah tidak berupaya menyelesaikan masalah ini dan kita juga beranggapan bahawa PBB tidak mempunyai taring jika melibatkan pencerobohan oleh Israel. Jika melibatkan negara lain seperti Iraq, Iran dan lain-lain, seolah mereka lah polis dunia dan menangkap jenayah-jenayah yang menimbulkan kekecohan tersebut sampai ke akar umbinya.

Sebagai kesimpulan, rakyat palestin di Gaza seharusnya bersatu hati dan berjuang habis-habisan untuk melawan serangan daripada tentera Israel. Semangat perpaduan yang jitu dikalangan mereka merupakan senjata yang paling canggih dan berkesan untuk menangkis serangan bertubi-tubi Israel. Anggaplah ini merupakan cubaan yang besar daripada Allah S.W.T. dan percayalah suatu hari ada hikmah di sebalik konflik ini.

No comments: