Friday, July 06, 2012

Indeks Jenayah Tidak Meningkat – Polis Selangor

KUALA LUMPUR – Polis Selangor menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya indeks jenayah di Selangor meningkat dan menyifatkan dakwaan itu hanya satu gembar-gembur yang tidak benar. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, indeks Jenayah di negeri itu sebenarnya menunjukkan penurunan yang positif sejak tahun 2009. “Polis Selangor menyangkal dakwaan indeks jenayah meningkat dan pihak kami akan meneruskan usaha memerangi jenayah demi kesejahteraan masyarakat. “Usaha mengumpulkan risikan, menangkap dan mendakwa tetap dipertingkatkan dan setiap hari polis Selangor menjalankan penangkapan terhadap golongan yang melakukan jenayah, penyalahgunaan dadah, jenayah komersial dan lain-lain,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Tun Hisan seterusnya merujuk kepada 88,635 keahlian aplikasi MyDistress yang bertujuan memudahkan orang ramai menghubungi polis sekiaranya berlaku kes jenayah bagi mengambarkan usaha polis Selangor dalam memerangi jenayah. Menurut beliau, sehingga 4 Julai lalu sebanyak 146 tindakan telah dilaksanakan polis hasil daripada aplikasi tersebut membabitkan 63 tindakan berkaitan jenayah, kes trafik (empat), pengguna tertekan (73) dan panggilan cubaan (enam). Tambah beliau, polis turut mengambil inisiatif mewujudkan Ops Payung yang bertujuan bagi masyarakat merasai kehadiran polis terutama di kawasan yang mempunyai institusi kewangan. Jelas beliau, melalui operasi itu, anggota Ops Payung akan menjalankan rondaan berjalan kaki secara bergilir-gilir dengan kedudukan yang berubah-ubah dari satu tempat ke tempat yang lain di 330 lokasi di semua daerah. Selain itu, kata beliau, polis Selangor turut menjalankan rondaan bersama Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di 25 sekolah antarabangsa disamping melakukan rondaan di sekolah-sekolah tempatan.

No comments: